Sunday 28 October 2012

Takwim Persekolahan 2013

Terima kasih kepada rakan blog iaitu Ustaz Omar yang sudi berkongsi takwim yang cantik dibina dalam Microsoft excel. Berdasarkan takwim ini dapatlah warga pendidik, para ibu bapa dan pelajar merancang persekolahan dari segi cuti, perbelanjaan dan sebagainya untuk tahun hadapan. Para pendidik juga dapat gunakan template ini untuk agenda setahun macam cartagant... jika berminat boleh klik download dari box.net perkongsian bahan di bawah..

Saturday 6 October 2012

Kursus FROG VLE untuk Penyelaras Bestari

Pada 4 hingga 6 Oktober 2012, saya telah mengadiri kursus frog vle di PKG Seberang Jaya. Kursus ini menarik kerana para peserta (guru-guru) diberi tunjuk ajar cara mengendalikan Frog Vle. Keseluruhan pembelajaran secara online/ atas talian yang menggunakan konsep cloud computing. 

Guru Penyelaras Bestari dan Guru ICT akan menjadi admin dalam sistem frog di sekolah masing-masing. Sebagai admin, GPB perlu menyampaikan maklumat Frog VLE kepada pentadbir terlebih dahulu, diikuti guru-guru dan para pelajar. Matlamat akhir, kesemua warga sekolah akan menggunakan persekitaran maya yang dipanggil Frog VLE.







Thursday 4 October 2012

Peralihan dari School Net kepada 1Bestari Net


Mulai tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menamatkan perkhidmatan talian School Net secara berperingkat. Surat siaran yang dihantar kepada pihak sekolah dan tinjauan tahap kepuasan hati pengguna(sekolah) turut dijalankan sejak tahun 2010. Memang diakui, talian School Net yang dibekalkan mengalami banyak masalah terutama capaian internet. Sejak saya melibatkan diri dengan pengurusan ict di sekolah, capaian internet kerap terganggu, terputus beberapa kali sehari perkara biasa ditambah pula dengan kelembapan untuk melayari internet. Dengan kelajuan 1 mbps, mana mungkin boleh digunakan oleh satu sekolah yang jumlah pengguna melebihi 100. Tentulah capaiannya menjadi perlahan. 
Kini Kementerian Pelajaran dengan kerjasama YTL Communication telah memperkenalkan 1BestariNet, pengganti kepada school Net yang diharap mampu mengatasi permasalahan yang kian lama wujud. Talian yang menggunakan teknologi 4G atau tanpa wayar telah diperkenalkan ke seluruh negara. Melalu Zoom yang dibekalkan iaitu alat yang berfungsi sebagai pemancar wifi kepada pengguna, guru-guru dan pelajar boleh membuat sambungan ke internet. Setiap sekolah sekolah dibekalkan dengan empat set zoom untuk dipasang di tempat-tempat yang sesuai. Contohnya di pejabat pentadbiran, bilik guru dan makmal komputer. Satu set zoom, dijadikan simpanan jika berlaku kerosakan bagi mana-mana zoom yang dipasang. 

Prestasi Penggunaan 1Bestari Net

Pada peringkat awal pemasangan talian 1Bestari Net, iaitu semasa pengujian pada bulan Mac 2012 kelajuan sungguh luar biasa. Melalui speed test yang dijalankan, download speed ialah 15 mbps dan upload speed hampir 8 mbps. Kini kelajuan capaian internet mula merudum dan kerap terputus. Walaupun paparan (signal) wifi bagi YES Moe A,B atau C ditunjukkan namun pengguna tidak dapat membuat sambungan ke internet. Masalah lain ialah zoom ini hanya memancarkan gelombang wifi dalam jarak 20 meter sahaja. Bayangkan jarak bangunan sekolah dari blok ke blok, tentulah mengalami masalah capaian.

Saya cuba mengatasi masalah ini degan meminta bantuan Juruteknik sekolah menyambungkan zoom berkenaan kepada  wireless router agar dapat dipancarkan dalam jarak yang lebih jauh. Alhamdulillah talian 1Bestari Net dari zoom berhasil menghubungkan pengguna dalam jarak kira-kira 100 meter. Nampaknya sekolah perlu keluar duit sendiri untuk membeli wireless router bagi tujuan ini. Harga satu set router juga agak mahal bergantung kepada kekuatan signal yang dipancarkan. Setakat ini sekolah telah membeli tiga router yang setiap satu berharga sekitar RM200...maklumlah harga turun naik..beli guna L/O lagilah mahal..
Namun begitu, bukan selalu gangguan ini berlaku. Pada waktu biasa, capaian internet memuaskan dan pengguna boleh menggunakan youtube serentak bagi lebih 20 buah komputer...guru-guru dan pelajar di sini kerap menggunakan youtube untuk pengajaran dan pembelajaran.  Langkah KPM tidak menyekat akses kepada laman ini amatlah dipuji. KPM juga telah membuat tapisan kepada akses laman web yang tidak sesuai. Jadi sebagai pihak yang menguruskan ict di sekolah, saya tidak perlu risau lagi dengan akses kepada laman web yang tidak sesuai oleh warga sekolah. 

Penggunaan talian 1Bestari Net juga kerap terganggu apabila hujan. Maksud saya capaian melalui wifi. Capaian melaui kabel iaitu sambungan yang dibuat dari zoom ke switch hub jarang mengalami masalah. Tetapi sambungan dari zoom ke wireless router akan terganggu apabila hujan. Saya ada menghubungi meja bantuan YTL Network bertanya tentang masalah ini. Jawapan yang diberikan ialah talian YTL menggunakan satelit, jadi akan berlaku gangguan dan kadangkala kelajuannya memang tak stabil. Kelakar bunyinyakan...macam kita tonton astro waktu hujan lebat..kadang-kadangkan ada gangguan siaran...Jika beginilah keadaannya baiklah kita gunakan talian sepenuhnya macam School Net dulu...


Sudah agak panjang lebar saya menceritakan tentang penggunaan 1Bestari Net di sekolah, dalam konteks sekolah saya di Pulau Pinang. Perkongsian ini bukan bertujuan memburukkan sesiapa, hanya menceritakan pengalaman sebagai guru  yang mengendalikan ict di sekolah. Kita jumpa lagi dalam coretan yang akan datang. Wassalam...

Monday 30 July 2012

Selamat Berpuasa

Alhamdulillah, Allah memanjangka usia dan memberi kesihatan yang baik untukku menyambut Bulan Ramadan tahun 2012. Insyaallah ibadah pada tahun ini akan ditingkatkan. Ku panjangkan kesyukuran kepada Allah s.w.t atas segala rezeki dan nikmat yang dikurniakan selama ini.  

Saturday 11 February 2012

Batik Ikat Celup

Batik celup atau juga dikenali sebagai batik ikat, merujuk kepada kaedah mencorak batik dengan cara mencelup kain kedalam pewarna sebanyak beberapa kali. Corak dan reka bentuk penerapan warna dirancang terlebih dahulu dan bahagian yang hendak dilindung dari pewarna akan dicorak dengan menggunakan lilit (yang biasanya dicampur damar) atau diikat ponjok. Lilin atau ikatan tersebut akan melindung warna sedia ada dari bertukar apabila dicelup kedalam warna berikutnya.
Pada kebiasaannya, batik celup akan dicelup dari warna cerah kepada warna semakin gelap. Ini bagi mengelak warna celupan dari bercampur atau comot. Proses mengikat atau melilin corak batik pada kain putih dan proses pewarnaan dengan merencam kain ke dalam pewarna akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap.(sumber Wikipedia)

Contoh batik ikat celup adalah seperti berikut :


Video penghasilan batik ikat celup. Terima kasih kepada tuan punya video dari youtube.





Sunday 22 January 2012

Megaupload diserbu


Kim Schmitz atau Kim Dotcom

WELLINGTON: Polis New Zealand menyerbu beberapa rumah dan perniagaan dikaitkan dengan pengasas Megaupload.com, sebuah laman perkongsian fail internet yang ditutup pihak berkuasa Amerika Syarikat kelmarin dan merampas senapang, jutaan dollar dan hampir AS$5 juta (RM15.53 juta) dalam bentuk kereta mewah. 

Polis menahan pengasasnya, Kim Dotcom dan tiga kakitangan Megaupload atas tuduhan bahawa mereka menyediakan jutaan kemudahan muat turun filem, muzik dan kandungan lain menyebabkan pemegang hak cipta kerugian pendapatan sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM1.55 bilion). Prosiding ekstradisi ke atas mereka mungkin berlangsung setahun atau lebih.
Dengan 150 juta pengguna berdaftar, kira-kira 50 juta ‘hits’ setiap hari dan penajaan dari bintang muzik terkenal, Megaupload.com adalah antara laman perkongsian fail terbesar dunia. Menurut satu pendakwaan Amerika, laman itu, yang ditutup Khamis lalu, memberi Dotcom pulangan AS$42 juta (RM130.41 juta) pada 2010 saja.
Walaupun syarikat itu berpusat di Hong Kong dan Dotcom tinggal di New Zealand, sesetengah kandungan didakwa cetak rompak di hos pada pelayan disewa di Virginia dan ia mencukupi buat pendakwa raya Amerika untuk bertindak. 

Polis New Zealand menyerahkan 10 waran menggeledah ke atas beberapa perniagaan dan rumah di sekitar bandar di Auckland. 

Jurucakap polis Grant Ogilvie berkata kereta yang dirampas termasuk sebuah Rolls Royce Phantom Drophead Coupe bernilai lebih AS$400,000 (RM1.24 bilion) selain beberapa Mercedes. Dua senapang dan sejumlah hasil seni bernilai turut dirampas, beliau menambah. 

Katanya, polis merampas lebih AS$8 juta (RM24.84 juta) wang yang dilabur dalam pelbagai institusi kewangan New Zealand dan kini diletakkan dalam satu tabung amanah sementara menunggu hasil kes. 
Media Fairfax New Zealand melaporkan empat defendan hadir bersama dalam bilik mahkamah di Auckland dalam langkah pertama prosiding ekstradisi. 

Peguam Dotcom menyuarakan bantahan terhadap permintaan media mengambil gambar dan video, namun Dotcom kemudian bercakap dari kandang mengatakan dia tidak kisah diambil gambar atau video ‘kerana tiada apa untuk disembunyikan.’ 

Hakim memberi capaian kepada media dan memutuskan empat lelaki terbabit direman sehingga perbicaraan kedua Isnin. 

Dotcom, bekas ketua eksekutif Megaupload dan ketua pegawai inovasi terkini, adalah penduduk Hong Kong dan New Zealand dan mempunyai dua kewarganegaraan Finland dan Jerman yang mempunyai nama yang diubah dari segi undang-undang. 
Tertuduh berusia 37 tahun itu sebelum itu dikenali sebagai Kim Schmitz dan Kim Tim Jim Vestor. 

Dua lagi warga Jerman dan seorang warga Belanda turut ditahan dan tiga lagi defendan, seorang warga Jerman, Slovakia dan Estonia, masih bebas. 

Megaupload mengekalkan peguam Washington Bob Bennett untuk membela mereka, menurut seorang individu syarikat. 

Bennett terkenal kerana mewakili bekas Presiden Bill Clinton dalam skandal Monica Lewinsky. –AP 


sumber :Berita harian online 

22/1/2012

Thursday 19 January 2012

Dapat Lima Bintang Penarafan Bestari 2011(SSQS)

Alhamdulillah... berita baik hari ini apabila Tuan Pengetua mengumumkan sekolahku telah mendapat lima bintang dalam penarafan bestari (SSQS) tahun 2011. Pengetua mengucapkan tahniah kepadaku dan semua guru pada mesyuarat staf hari ini. Tanpa sokongan dari semua guru dan staf bukan akademik yang telah bekerjasama menjayakan program ict tahun 2011 sukar untuk mencapai kejayaan ini.


SSQS ialah satu pemantauan standard yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran melalui BTPN dan PKG untuk memberi taraf bestari kepada sekolah2 di seluruh Malaysia. Instrument2 yang digunakan merangkumi pelbagai aspek penggunaan ict guru, pelajar dan pengurusan sekolah. Pihak PKG Telok Air Tawar juga bersetuju untuk memberikan perhatian terhadap permasalahan ict yang dihadapi di sekolah ini seperti pelupusan komputer dan penggantian komputer di makmal perkomputeran untuk kegunaan warga sekolah. Sama-samalah kita doakan...

Friday 6 January 2012

Ulasan Buku Ketiga

Buku kali ini berjudul Belajar Publisher ditulis oleh Saidah binti Shahid. Mungkin ramai pembaca yang tidak biasa menggunakan program ini. Tetapi di sekolah kebanyakan guru telah menggunakannya untuk menghasilkan buku program, brosur dan lain-lain penerbitan.


Penulis berasal dari sabak Bernam, Selangor. Berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi Multimedia dari OUM, Kuala Lumpur. Kebanyakan penulisan beliau dalam bidang komputer adalah dalam bentuk nota ringkas dan padat.

Dalam buku ini penulis menerangkan semua tools yang terdapat dalam program Microsoft Publisher. Pembaca dapat memahami dengan jelas penggunaan tools, tetapi untuk memulakan penghasilan bahan berbentuk penerbitan seperti buku program, perlu membuat rujukan tambahan. Buku ini tidak menerangkan dengan terperinci cara menghasilkan penerbitan sesuatu bahan sehingga siap iaitu cara memilih template seperti kad nama, artikel, brosur dan sebagainya. Maklumlah dengan tebal 106 muka surat mana mungkin semuanya hendak dimuatkan... kepada yang berminat, boleh dapatkan buku ini dengan harga RM14.90 dimana-mana kedai buku.