Sunday, 15 September 2019

Skala Pengukuran

Terdapat empat jenis skala pengukuran, iaitu skala nominal, skala ordinal, skala selang dan skala nisbah. 

1. Skala Nominal

Iaitu skala yang menggunakan angka untuk mewakili kategori-kategori sesuatu variable. Contoh variabel skala nominal ialah jantina, bangsa, agama dan lain-lain. Jantina biasanya dikodkan menggunakan angka '1' dan '2' yang mewakili lelaki dan perempuan. Dalam konteks ini, angka 1 dan 2 tidak mempunyai nilai. Angka tersebut hanya mewakili kategori jantina. Data yang dikumpulkan juga bukan data kontinum (mempunyai susunan menaik atau menurun) dan tidak mempunyai pengiraan matematik. 

2. Skala Ordinal

Iaitu skala yang melibatkan data-data kontinum yang disusun secara teratur, bermula dari angka yang kecil hingga ke angka yang lebih besar. Contohnya seperti berikut:

Harga DVD original yang paling berpatutan, sila tandakan.

kurang daripada RM5.00                                     1......
RM5.00 hingga RM12.00                                     2......
RM13.00 hingga RM20.00                                   3......
RM21.00 hingga RM30.00                                   4......
lebih daripada RM30.00                                       5......

Skala ordinal yang paling kerap digunakan dalam soal selidik kajian ialah skala Likert. Skala Likert menggunakan angka 1,2,3,4 dan 5 untuk mewakili tahap persetujuan subjek mengenai sesuatu pertanyaan.  


3. Skala Selang

Skala selang tidak mempunyai nilai sifar benar. Bermakna, data skala selang mempunyai nilai negatif kerana angka '0' tidak menunjukkan nilai yang paling rendah dalam skala selang. 


4. Skala Nisbah

Skala nisbah ialah skala yang melibatkan data-data kontinum, yang disusun secara teratur  bermula dari angka yang kecil hingga ke angka yang lebih besar. Contohnya dalam satu ujian sains, skor yang diperolehi pelajar-pelajar dalam satu kelas di antara '0' hingga '100'. Angka '0' merupakan sifar benar. 

Berikut adalah contoh yang membezakan Skala Selang dan Skala Nisbah.

Contoh skala selang : Suhu (suhu tidak mempunyai nilai sifar yang benar kerana 0Âșc tidak menunjukkan suhu yang paling rendah. Suhu mempunyai nilai negatif di bawah sifar)

Contoh skala nisbah : Berat badan (nilai 0 bermakna tiada berat, iaitu 0 ialah sifar benar kerana berat tidak mempunyai nilai negatif yang lebih rendah daripada 0).  

Sumber: Chua Yan Piaw (2014) edisi 3











Sunday, 19 October 2014

Bengkel Animasi Story Telling

Pada 14 hingga 16 Oktober 2014 bertempat di BTPNPP, Pokok Sena telah diadakan Bengkel Animasi Story Telling. SMKTAT telah menghantar tiga orang pelajar menyertai pertandingan iaitu Muhammad Miswar, Nasrullah, dan Muhammad Aizad dari kelas 4 UMM. Guru pengiring merangkap pengarah animasi ialah Encik Mohd Yusof. SMKTAT telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam bengkel yang diadakan. Hasil animasi ini akan dibawa ke peringkat kebangsaan untuk pertandingan seterusnya.


Video animasi yang dihasilkan



Hari pertama 


bergambar bersama hamper dan mouse dalam beg yang dipegang. 

Sebanyak 7 buah sekolah mengambil bahagian yang mewakili 8 pasukan kerana SMJK Perempuan Cina menghantar dua pasukan. 

Sunday, 9 June 2013

Jin Undercover




Ulasan buku kali ini berjudul Jin Undercover, ditulis oleh Abdul Majid Hasan. Nampak tajuk dah agak menarik..sebab tu saya membeli dan membacanya..tapi belum habis sepenuhnya..Buku ini baik dan sesuai dibeli oleh orang Islam untuk mempelajari dan mengetahui teknik menjaga diri dari ancaman jin jahat atau syaitan.

Buku setebal 142 muka surat ini sarat dengan ilmu berguna, ayat ayat Al-quran yang dipanggil Ruqyah yang mesti kita hafal dan amalkan dalam kehidupan seharian. Ayat Alquran (Ruqyah) ini adalah benteng pertahanan dalam menghadapi gangguan jin dan syaitan.

Pengetahuan berguna yang diperolehi dari buku ini ialah kita hendaklah sentiasa mengamalkan membaca Alquran setiap hari terutama di rumah. Rumah yang tidak dibaca ayat2 suci Alquran mudah didatangi jin jahat..dengan membaca Alquran, kita juga akan membaca ruqyah (ayat yang akan mengazab jin/syaitan) yang terdapat di dalamnya. Contohnya surah Al Bakarah, Surah Al Furkhan dan sebagainya..

Dapatkannya di pasaran dengan harga RM20.90 (Sem. Mal) atau RM 23.90(Sabah/Sarawak)


Sunday, 10 March 2013

Sepetang di Bakar kapor, Penaga

9 Mac 2013, saya berkesempatan merakam gambar petani membajak sawah padi. sungguh menarik.. Serta pemandangan waktu senja di Kuala Sungai Tembus, Penaga.



Yang menariknya kelihatan puluhan ekor burung bangau spesis migration mengekori rapat jentera pembajak untuk mendapatkan cacing. 









Kuala Sungai Tembus , pemandangan waktu senja...ke arah laut






Monday, 18 February 2013

Melancong pada Cuti Tahun Baru Cina

Cuti tahun Baru Cina dah bermula, adik beradik saya mula datang ke rumah di Seberang Perai, Pulau Pinang. Nak bawa mereka jalan kemana ya..? Ke Bukit Bendera..sudah, ke Jambatan Pulau Pinang dan balik naik  feri..sudah, Batu Feringgi..sudah... pening kepala...

Saya buat keputusan bawa mereka ke Pantai Merdeka. Kali ni, Pantai Merdeka agak meriah dengan pengunjung..ramai yang mengambil peluang sempana cuti, berkunjung ke sini. Walaupun air laut agak kotor dengan sampah-sarap seperti daun dan kayu, ramai juga yang mandi...nasiblah..itu aje yang ada.. banyak juga gerai yang menjual pelbagai jenis makanan, barangan dan cendera mata.

  


Pemandangan Tanjung Dawai nampak menarik. Saya mengajak adik-beradik yang datang dari Kuala Lumpur menaiki bot ke Tanjung Dawai. Tambangnya RM2.00 seorang dan percuma jika bawa anak yang berdukung. Wah..mereka semua begitu seronok naik bot menikmati angin dan pemandangan laut. Lebih kurang lima minit dah sampai ke Tanjung Dawai. Apa lagi , mulalah membeli belah barangan makanan kering seperti belacan tumbuk, ikan gelama masin, ikan bilis, keropok dan kuah rojak. Sudah puas membeli belah kami menaiki bot semula ke Pantai Merdeka.


     

Sebenarnya, cerita ni sekadar berkongsi maklumat dengan pembaca jika ada saudara-mara yang datang ke Penang/ Kedah, dan kita tak tahu nak bawa ke mana...bolehlah cuba.. Jarak dari rumah di Taman Penaga ke Tanjung Dawai lebih dekat, maksudnya masa lebih cepat. Dari Penaga mengikut jambatan di Permatang Bendahari terus ke Pantai Merdeka. Kemudian menaiki bot ke Tanjung Dawai. Berbeza dengan menaiki kereta ke Tanjung Dawai, jaraknya lebih jauh. Kadang-kadang nak meletakkan kereta pun susah..ramai orang..cuti-cuti ni..

Tuesday, 29 January 2013

Generasi X, Y dan Z

Saya tertarik membaca tulisan penulis Siti Nur Almizan Aripin | snur@bharian.com.my Berita Harian 29 Januari 2013 tentang istilah generasi digital masa kini. Menurut beliau, setiap orang wajar mengetahui wujudnya generasi Baby Boomer iaitu individu dilahirkan antara 1946 hingga 1964, Generasi X (1965-1979) Generasi Y (1981-1994), Generasi Z (1995-2009) dan terkini, Generasi Alpha (2010 dan seterusnya).

Beliau memetik kenyataan  perunding keibubapaan, Jamilah Samian, cara berfikir dipengaruhi dua faktor iaitu genetik dan persekitaran bagaimanapun dari sudut psikologi, genetik boleh berubah oleh persekitaran.

Apabila ramai ibu bapa memiliki anak generasi Y, Z dan Aplha meluahkan kesukaran memahami sekali gus mendidik anak, kata Jamilah, mereka perlu tahu perilaku anak banyak dipengaruhi oleh ledakan revolusi era digital.

Melalui buku tulisannya berjudul Tips Groovi : Mendidik Generasi Y dan Z, Jamilah memberitahu, generasi era digital membesar dengan diet utamanya iaitu internet.

Tambahnya lagi, mereka makan, tidur dan bernafas dengan Internet. Golongan generasi Y yang lebih tua dilahirkan sebelum laman sesawang wujud manakala Generasi Z pula dilahirkan ketika kemudahan ini sudah sedia ada.
“Inilah sebabnya, generasi Z boleh menggunakan iPad sebelum mereka pandai menuturkan perkataan ‘mak’,” katanya.

bacaan lanjut klik http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Didikgenerasidigital/Article/


Sunday, 28 October 2012

Takwim Persekolahan 2013

Terima kasih kepada rakan blog iaitu Ustaz Omar yang sudi berkongsi takwim yang cantik dibina dalam Microsoft excel. Berdasarkan takwim ini dapatlah warga pendidik, para ibu bapa dan pelajar merancang persekolahan dari segi cuti, perbelanjaan dan sebagainya untuk tahun hadapan. Para pendidik juga dapat gunakan template ini untuk agenda setahun macam cartagant... jika berminat boleh klik download dari box.net perkongsian bahan di bawah..

Saturday, 6 October 2012

Kursus FROG VLE untuk Penyelaras Bestari

Pada 4 hingga 6 Oktober 2012, saya telah mengadiri kursus frog vle di PKG Seberang Jaya. Kursus ini menarik kerana para peserta (guru-guru) diberi tunjuk ajar cara mengendalikan Frog Vle. Keseluruhan pembelajaran secara online/ atas talian yang menggunakan konsep cloud computing. 

Guru Penyelaras Bestari dan Guru ICT akan menjadi admin dalam sistem frog di sekolah masing-masing. Sebagai admin, GPB perlu menyampaikan maklumat Frog VLE kepada pentadbir terlebih dahulu, diikuti guru-guru dan para pelajar. Matlamat akhir, kesemua warga sekolah akan menggunakan persekitaran maya yang dipanggil Frog VLE.







Thursday, 4 October 2012

Peralihan dari School Net kepada 1Bestari Net


Mulai tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menamatkan perkhidmatan talian School Net secara berperingkat. Surat siaran yang dihantar kepada pihak sekolah dan tinjauan tahap kepuasan hati pengguna(sekolah) turut dijalankan sejak tahun 2010. Memang diakui, talian School Net yang dibekalkan mengalami banyak masalah terutama capaian internet. Sejak saya melibatkan diri dengan pengurusan ict di sekolah, capaian internet kerap terganggu, terputus beberapa kali sehari perkara biasa ditambah pula dengan kelembapan untuk melayari internet. Dengan kelajuan 1 mbps, mana mungkin boleh digunakan oleh satu sekolah yang jumlah pengguna melebihi 100. Tentulah capaiannya menjadi perlahan. 
Kini Kementerian Pelajaran dengan kerjasama YTL Communication telah memperkenalkan 1BestariNet, pengganti kepada school Net yang diharap mampu mengatasi permasalahan yang kian lama wujud. Talian yang menggunakan teknologi 4G atau tanpa wayar telah diperkenalkan ke seluruh negara. Melalu Zoom yang dibekalkan iaitu alat yang berfungsi sebagai pemancar wifi kepada pengguna, guru-guru dan pelajar boleh membuat sambungan ke internet. Setiap sekolah sekolah dibekalkan dengan empat set zoom untuk dipasang di tempat-tempat yang sesuai. Contohnya di pejabat pentadbiran, bilik guru dan makmal komputer. Satu set zoom, dijadikan simpanan jika berlaku kerosakan bagi mana-mana zoom yang dipasang. 

Prestasi Penggunaan 1Bestari Net

Pada peringkat awal pemasangan talian 1Bestari Net, iaitu semasa pengujian pada bulan Mac 2012 kelajuan sungguh luar biasa. Melalui speed test yang dijalankan, download speed ialah 15 mbps dan upload speed hampir 8 mbps. Kini kelajuan capaian internet mula merudum dan kerap terputus. Walaupun paparan (signal) wifi bagi YES Moe A,B atau C ditunjukkan namun pengguna tidak dapat membuat sambungan ke internet. Masalah lain ialah zoom ini hanya memancarkan gelombang wifi dalam jarak 20 meter sahaja. Bayangkan jarak bangunan sekolah dari blok ke blok, tentulah mengalami masalah capaian.

Saya cuba mengatasi masalah ini degan meminta bantuan Juruteknik sekolah menyambungkan zoom berkenaan kepada  wireless router agar dapat dipancarkan dalam jarak yang lebih jauh. Alhamdulillah talian 1Bestari Net dari zoom berhasil menghubungkan pengguna dalam jarak kira-kira 100 meter. Nampaknya sekolah perlu keluar duit sendiri untuk membeli wireless router bagi tujuan ini. Harga satu set router juga agak mahal bergantung kepada kekuatan signal yang dipancarkan. Setakat ini sekolah telah membeli tiga router yang setiap satu berharga sekitar RM200...maklumlah harga turun naik..beli guna L/O lagilah mahal..
Namun begitu, bukan selalu gangguan ini berlaku. Pada waktu biasa, capaian internet memuaskan dan pengguna boleh menggunakan youtube serentak bagi lebih 20 buah komputer...guru-guru dan pelajar di sini kerap menggunakan youtube untuk pengajaran dan pembelajaran.  Langkah KPM tidak menyekat akses kepada laman ini amatlah dipuji. KPM juga telah membuat tapisan kepada akses laman web yang tidak sesuai. Jadi sebagai pihak yang menguruskan ict di sekolah, saya tidak perlu risau lagi dengan akses kepada laman web yang tidak sesuai oleh warga sekolah. 

Penggunaan talian 1Bestari Net juga kerap terganggu apabila hujan. Maksud saya capaian melalui wifi. Capaian melaui kabel iaitu sambungan yang dibuat dari zoom ke switch hub jarang mengalami masalah. Tetapi sambungan dari zoom ke wireless router akan terganggu apabila hujan. Saya ada menghubungi meja bantuan YTL Network bertanya tentang masalah ini. Jawapan yang diberikan ialah talian YTL menggunakan satelit, jadi akan berlaku gangguan dan kadangkala kelajuannya memang tak stabil. Kelakar bunyinyakan...macam kita tonton astro waktu hujan lebat..kadang-kadangkan ada gangguan siaran...Jika beginilah keadaannya baiklah kita gunakan talian sepenuhnya macam School Net dulu...


Sudah agak panjang lebar saya menceritakan tentang penggunaan 1Bestari Net di sekolah, dalam konteks sekolah saya di Pulau Pinang. Perkongsian ini bukan bertujuan memburukkan sesiapa, hanya menceritakan pengalaman sebagai guru  yang mengendalikan ict di sekolah. Kita jumpa lagi dalam coretan yang akan datang. Wassalam...