Tuesday 29 November 2011

Jangan tertipu

Ditulis oleh Dr. Ismail Thamby, Harian Metro Rabu, 30 November 2011.

BARU-BARU ini saya menerima e-mel daripada seorang pengguna yang bertanya mengenai produk baru yang hangat di pasaran dikenali sebagai ‘Vakouu’. Sebelum menerangkan lebih lanjut, saya ingin mengucapkan syabas kepada pengirim e-mel itu kerana mengkaji dan meneliti sesuatu produk terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan membelinya.
Tidak dinafikan banyak ‘produk kesihatan’ dijual oleh orang tidak bertauliah dan mereka kadangkala berlagak seperti doktor dan memberi maklumat kesihatan sewenang-wenangnya.
       Bagaimanapun, produk dijual adalah mengarut, malah mereka menggunakan istilah perubatan seperti Dr, Nano, Stem Cell dan pelbagai lagi tanpa mengetahui maksud sebenar.
Justeru, masyarakat yang mengalami masalah kesihatan tidak teragak-agak membelinya kerana mereka mudah terpengaruh dan percaya apa yang dicanang, lebih-lebih lagi individu yang malu berjumpa pakar atau doktor mengenai masalah mereka.
      Jika dibiarkan berterusan, perkara seperti ini memudaratkan lagi kesihatan mereka yang membeli produk itu, selain menanggung kerugian besar. Produk sebegini dan peralatan elektronik yang dikatakan ‘ajaib’ itu perlu dipantau penjualannya oleh pihak bertanggungjawab. Kementerian Kesihatan (KK) kini ada satu unit khas yang memantau produk kesihatan dalam pasaran untuk meneliti sama ada produk, rawatan atau kaedah tertentu yang mendakwa produk berkenaan benar-benar berkesan memandangkan kos sesetengahnya membebankan masyarakat, lebih-lebih lagi ia tidak memberi kesan positif serta berisiko memudaratkan kesihatan.
       Anda mungkin maklum kaedah Terapi Ozon (kaedah mencuci darah) yang didapati tidak memberi kesan baik dan tidak diiktiraf KK. Orang ramai yang pernah menjalani terapi itu mungkin ketagih dan mengikutinya secara membuta tuli. Bagaimanapun, ia perbuatan sia-sia. Saya dapati banyak syarikat atau individu menjual produk bukan-bukan seperti produk elektronik yang mensasarkan orang berumur untuk memulihkan kelemahan badan dan tenaga. Namun, ia tidak boleh dipercayai dan saya pasti ia juga akan mendapat penelitian Unit Khas KK. Begitupun, yang penting kini adalah mengamalkan gaya hidup sihat dengan senaman berkala. Ia lebih berbaloi daripada duduk tersadai dan mendapat rawatan menerusi pelbagai produk mengarut.
       Untuk makluman, tidak ada peralatan elektronik yang boleh menyembuhkan penyakit dan jika ada pun perubahan, ia hanya bersifat sementara dan kemudian penyakit lama akan datang kembali.
Perubahan yang dimaksudkan ialah ‘fantasi’ atau ‘plasibo’ kerana kepercayaan dan keyakinan awalan masyarakat kepada produk yang membuatkan minda keliru dan menganggap ‘perubahan’ itu satu kebaikan, malangnya ia tidak memberi kesan.
       Pada pendapat saya, menggunakan produk berkenaan (seperti seluar dalam bermagnet yang kononnya dapat membantu ereksi dan membuatkan zakar besar, produk elektronik berjenama) bagi mendapatkan prestasi yang mengkagumkan adalah karut. Berbalik kepada produk ‘Vakouu’, jika produk seluar dalam yang mengandungi magnet itu dapat membantu memantapkan ereksi, memulihkan mati pucuk dan membesarkan zakar, saya juga akan membeli atau menjualnya. Namun ia sekadar mimpi. Jangan tertipu dan menjadi mangsa penipuan yang gemar memperalatkan individu demi keuntungan.
       Setakat ini, hanya alat regangan asli, Andropenis dan Andro-Extender dapat membantu mengubah saiz anggota kelamin lelaki secara berkesan dan keberkesanannya dikaji melalui ujian klinikal.
Namun begitu, pastikan ia tulen. Alat tiruan tidak sama dan bahan buatannya juga berbeza serta boleh merosakkan anggota sulit lelaki secara ketara. Nasihat saya kepada pembaca ruangan ini, jangan mudah terpengaruh dengan produk kesihatan yang menjanjikan pemulihan penyakit atau kebaikan tertentu tanpa nasihat doktor bertauliah.

Jika was-was, dapatkan nasihat KK.

Sunday 27 November 2011

Ulasan Buku Pertama

Azam baru tahun 1433 Hijrah dan tahun masehi 2012 nanti aku ingin membeli buku sebuah buku setiap bulan. Hasil bacaan itu akan aku paparkan di sini untuk dikongsikan dengan rakan2 siber yang menjengah ke blog ini. Sebagai permulaan judul Menjadi Penulis Jutawan oleh Nimoiz TY menggamit minatku. Nama sebenar penulis buku ialah Nik Mohd Iznan bin TuanYaakub berasal dari Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah Kelantan. Aku suka buku ini kerana gaya penulisan yang santai dan pertalian antara bab dengan bab yang lain. Rasa ingin tahu  rahsia untuk menjadi penulis jutawan  terjawab di akhir bab buku ini.

    Maklumat berguna yang diperolehi melalui buku ini bukanlah untuk menjadi penulis jutawan sahaja. Sebenarnya kita semua boleh menulis tetapi mengikut minat dan kemahiran kita dalam bidang masing-masing. Contohnya sebagai guru, kita boleh menulis mengikut kemahiran dan kepakaran dalam  mata pelajaran yang diajar. Begitu juga sebagai peguam, pensyarah atau tukang masak dan pelbagai bidang pekerjaan. Kepelbagaian kerjaya yang ada di Malaysia ini,  tahap umur dan tahap pendidikan yang berbeza memberi kesan terhadap permintaan buku di pasaran. Aku pernah terbaca kajian oleh Perpustakaan Negara Malaysia satu ketika dulu, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kemudiannya meningkat kepada lapan buah buku setahun dari kajian terbaru 2007.
    Hal ini membuktikan, tahap membaca dan celik huruf rakyat Malaysia semakin meningkat. Justeru, untuk menulis buku dan menghasilkan karya yang pelbagai genre amatlah digalakkan. Ia bukan sahaja dapat dijadikan bacaan masa lapang malah boleh dijadikan rujukan dalam pelbagai bidang pekerjaan. Aku sendiri rasa tercabar untuk menulis buku berkaitan komputer untuk rujukan rakan-rakan guru sebagai permulaan. Niatku hanya untuk berkongsi ilmu Allah yang ada. Seperti kata-kata hikmat  " Ilmu yang tak diamalkan ibarat pokok yang tidak berbuah".

Info: Harga buku RM29.90, beli di kedai buku Popular RM24.00 diskaun 20% harga ahli.
     



Saturday 26 November 2011

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433 Hijrah

Sempena menyambut kedatangan tahun baru 1433 Hijrah marilah sama-sama kita membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Semoga azam baru kita pada tahun baru hijrah ini adalah lebih baik dan dapat dicapai dari tahun-tahun sebelum, InsyaAllah...

Doa Akhir Tahun

Doa Awal Tahun

video dari youtube : Uploaded by  on Nov 25, 2011





Hasil kebun


Cuti sekolah sudah bermula, selain bertugas mengawas peperiksaan SPM masa yang terluang tu boleh juga aku berkebun. Dapat juga keluarkan peluh jantan ni..sayur terbaru yang membuahkan hasil ialah terung bulat, bendi dan cili besar. tapi hasil cili besar ni tak sempat masak merah dah gugur ke bumi. Tanya kawan katanya perlu sembur racun serangga. Tak rajinlah pulak aku nak sembur racun..sudahnya ku petik buah cili besar yang masih hijau untuk dibuat cili jeruk...dapat juga dimakan dari jatuh free ke tanah.

Inilah hasil kebunku ...

 tengok kacang bendi ni..besar tak...belakang tu pokok jagung berusia 2 bulan.

Inilah cili kerinting

 pokok cili besar dan terung

Terung bulat yang dah banyak kali dituai hasil..berbuah tak putus-putus..geli hati aku bila dengar anakku berkata "papa...petiklah buah epal ni..". Selain dimakan kusedekahkan pada jiran-jiran.

Tuesday 22 November 2011

Ajar anak melukis

hari ni cadang nak ajar anak melukis. Abangnya 7 tahun dan adikny 4 tahun. Tapi apakah bentuk atau kemahiran melukis yang sesuai mengikut tahap umur mereka? menurut Lowenfeld, pembelajaran melukis untuk kanak-kanak adalah berbeza mengikut umur. Jadi, latihan dan kemahiran hendaklah disesuaikan dengan mereka. Berikut pautan laman web rujukan saya http://www.learningdesign.com/Portfolio/DrawDev/kiddrawing.html

(a) Peringkat Scribbling (2-4 Tahun)
Pada peringkat ini kanak-kanak menghasilkan contengan secara
rawak dan tidak terkawal. mereka mula melukis dari peringkat
contengan kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada
melukis bulatan.

(b) Peringkat Preschematic (4-7 Tahun)
Peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan
pertama untuk melukis objek yang terdapat di sekelilingnya dengan
menggunakan garisan.

(c) Peringkat Schematic (7-9 Tahun)
Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu.
Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam
imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di
sekelilingnya. lukisan yang dihasilkan adalah spontan, bebas dan
berskala besar.

(d) Peringkat Dawning Realism atau The Gang Age (9-12 Tahun)
kanak-kanak terus melukis dengan mengekalkan konsep dan skema
tertentu. imej yang dilukis secara realistik dan teliti. Imej lukisan
mula mengecil dari segi saiz dan kanak-kanak mula menunjukkan
sifat kritikal dengan hasil karya sendiri. Mereka mula
membandingkan karya dengan karya rakan sebaya dan ini
menjadikan mereka berhati-hati dan sedikit individualistik serta
menitikberatkan kualiti karya yang dihasilkan.

(e) Peringkat Pseudonaturalistic atau Reasoning (12-14 Tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula peka dengan konsep realistik
di dalam menghasilkan lukisan. Mereka menitikberatkan konsep
kedudukan dan saiz rasional imej. Mereka lebih gemar untuk
melukis melalui konsep peniruan atau melalui objek
di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi.

(f) Peringkat Period If Decision atau Adolescent Art in High
School (14-17 Tahun)
Peringkat ini merupakan peringkat penekanan terhadap proses
penghasilan karya seni dan penciptaan objek. Peringkat ini
memperlihatkan kematangan di dalam membuat keputusan dan
pemilihan bahan yang sesuai untuk menghasilkan karya
seni.

http://www.oocities.org/zulmz65/senikanakanak1.pdf

Friday 11 November 2011

Pembayaran Bantuan RM100 untuk Setiap Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia akan mula mengagihkan bantuan RM100 kepada setiap pelajar yang layak, iaitu pada bulan November 2011. bantuan akan diberikan secara tunai pada suatu hari yang akan ditetapkan oleh pihak sekolah. sila klik pautan berikut untuk pekeliling yang lengkap. Bantuan RM100  atau maklumat lanjut sila klik pautan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di http://www.moe.gov.my/index.php?id=13&aid=2253>

Wednesday 9 November 2011

Tahap Kesedaran Pengguna Semakin Meningkat

Sumber : Berita Harian, Rabu 9 November 2011


Berdasarkan artikel di bawah, pada pendapat saya tahap kesedaran pengguna di Malaysia semakin meningkat. Namun bagi kawasan negeri2 tertentu terutama di luar bandar, tahap kesedaran ini masih rendah. Mungkin mereka kurang mendapat pendedahan tentang hak2 pengguna. Oleh itu kerajaan perlu menggiatkan usaha untuk membimbing masyarakat tentang hak2 mereka sebagai pengguna. 

Lebih 7,000 kes tuntutan pengguna selesai membabitkan bayaran RM13 juta

PUTRAJAYA: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjaya menyelesaikan 7,767 kes tuntutan sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu, membabitkan pembayaran berjumlah RM13,395,223. 

Pengerusi TTPM, Reihana Abd Razak, berkata jumlah itu adalah 86.65 peratus daripada keseluruhan 8,964 kes yang difailkan untuk tempoh sama, membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM40,867,862.
"Perbezaan yang jauh antara nilai yang dituntut dengan nilai award yang dikeluarkan adalah disebabkan ada yang membuat tuntutan sesuka hati," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh pengguna yang membeli komputer dengan harga RM2,000 namun membuat tuntutan RM20,000 apabila komputer berkenaan tidak boleh digunakan. 

"Kita tak akan bagi. Jumlah maksimum yang dia akan dapat adalah nilai komputer itu ataupun kita boleh meminta peniaga terbabit menggantikan komputer berkenaan dengan yang baru," katanya. 

Reihana berkata, tiga negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi ialah Kuala Lumpur dengan 1,978 kes, diikuti Johor (1,310 kes) dan Selangor dengan 1,043 kes. 

Beliau berkata, perkara itu mungkin disebabkan oleh kepadatan penduduk di tiga negeri terbabit, serta tahap kesedaran orang ramai yang lebih tinggi mengenai hak mereka sebagai pengguna. 
Kes yang direkodkan di tiga negeri ini juga lebih banyak membabitkan gajet terkini seperti telefon bimbit dan komputer, mungkin kerana pengguna di kawasan ini lebih berminat dengan peralatan tersebut, katanya. 

Reihana berkata, daripada keseluruhan 8,964 kes yang difailkan, 4,265 kes membabitkan barangan dan baki 4,699 lagi membabitkan perkhidmatan. 

Katanya, dalam kategori barang, telefon bimbit mencatat kes paling tinggi dengan 565 kes, diikuti perabot dengan 528 kes dan kereta dengan 508 kes. 

Daripada kategori perkhidmatan pula, pakej umrah mencatat jumlah paling tinggi dengan 499 kes, diikuti bengkel kereta dengan 433 kes dan rawatan atau pusat kecantikan dengan 422 kes, katanya. - BERNAMA