Friday, 16 December 2011

Ulasan Buku Kedua

Buku tulisan Dr. Danial mengenai Persoalan Islam yang Kontemporari selesai dibaca. Isinya menarik bagiku kerana beliau menjelaskan persoalan terkini tentang umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia. Gaya penulisan dalam bentuk soalan dan jawapan yang jelas adalah sesuai untuk kita menyerap maklumat yang ingin disampaikan. Nama penuh penulis ialah Dr. Danial bin Zainal Abidin berasal dari Jelutong, Pulau Pinang. Beliau memiliki ijazah dalam bidang perubatan dari Universiti Iskandariah, Mesir. Di sana juga beliau telah mempelajari Bahasa Arab dan menimba ilmu agama dari ulama berkaliber. Antaranya ulama hadis terkenal iaitu Syekh Muhammad Najib al-Muthi'i.


         Antara persoalan menarik yang ingin dikongsikan dari buku ini ialah "Benarkah Islam dikembangkan dengan pedang?" Jawapannya tidak. Sekiranya Islam perlu dikembangkan dengan pedang sudah tentu Nabi Muhammad akan menggunakan strategi ini sejak awal bagi mengembangkan Islam. Sebenarnya nabi menggunakan dalil dan hujah bagi menyedarkan manusia perihal kebenaran Islam tanpa menggunakan kekerasan. Persoalan lain tentang teori Machiavelli. Aku mulanya tak faham apa teori ni, hanya baca di akhbar. Selepas baca tulisan Dr. Danial barulah faham iaitu perangai manusia yang cenderung bagi melakukan tipu daya dan putar belit demi mencapai cita-cita. Atau senang cerita macam politik sekarang ni "matlamat menghalalkan cara". Teori ini diasaskan oleh pemikir dari Florence, Itali yang bernama Niccolo Machiavelli(1469-1527 Masehi).
          Keseluruhannya bagiku buku ini bagus dan perlu dibaca oleh Islam dan bukan Islam untuk memberi kefahaman dan  kebenaran tentang Islam serta  menolak fitnah2 yang dilontarkan oleh musuh Islam. Kadang2 persoalan Islam tentang Islam, iaitu pegangan dan keyakinan kita sengaja digoyah oleh pihak2 tertentu bagi melonggarkan keyakinan kita terhadap Islam. Melalui buku ini segalanya dijelaskan dengan terperinci berdasarkan Alquran dan al-hadis.
          Harga buku RM30.00, kalau beli di popular dan jadi ahli dapat diskaun 20%











Thursday, 8 December 2011

SBPA - Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2011

Skim perkhidmatan terbaru utk kakitangan kerajaan telah dikeluarkan. Saya sertakan di sini lampiran pekeliling untuk kakitangan awam dalam kumpulan pendidikan. Berdasarkan pekeliling ni tak banyak yang saya boleh komen sebab masih belum jelas. Maksudnya guru-guru akan diberi satu taklimat khas oleh pentadbir dahulu. kalau ikutkan 27 hb nanti barulah faham tentang pekeliling ni. Lagi pun lampiran 'C' iaitu maklumat  skim gaji yang dianggap paling penting tidak dilampirkan oleh JPA.

Pekeliling Pendidikan boleh muat turun dalam box perkongsian maklumat.

Pautan Pekeliling Pendidikan

Wednesday, 7 December 2011

Jadual Gaji 2012

Jadual gaji baru untuk tahun 2012 telah dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara. Senanglah kakitangan awam nak buat semakan bila gaji masuk. Seterusnya boleh buat bajet. Pekeliling lengkap sila muat turun  dalam perkongsian bahan.

BULANTARIKH
PEMBAYARAN
HARICATATAN
Januari16 Januari 2012IsninTahun Baru Cina 23 & 24 Jan 2012
Februari23 Februari 2012Khamis
Mac22 Mac 2012Khamis
April25 April 2012Rabu
Mei23 Mei 2012RabuPesta Menuai 30 & 31 Mei 2012
Jun25 Jun 2012IsninHari Gawai 1 & 2 Jun 2012
Julai25 Julai 2012Rabu
Ogos13 Ogos 2012IsninHari Raya Puasa 19 & 20 Ogos 2012
September25 September 2012Selasa
Oktober22 Oktober 2012IsninHari Raya Haji 26 Oktober 2012
November6 November 2012SelasaDeepavali13 November 2012
Disember18 Disember 2012SelasaHari Krismas 25 Disember 2012


Sumber : Berita Semasa.Com

Tuesday, 29 November 2011

Jangan tertipu

Ditulis oleh Dr. Ismail Thamby, Harian Metro Rabu, 30 November 2011.

BARU-BARU ini saya menerima e-mel daripada seorang pengguna yang bertanya mengenai produk baru yang hangat di pasaran dikenali sebagai ‘Vakouu’. Sebelum menerangkan lebih lanjut, saya ingin mengucapkan syabas kepada pengirim e-mel itu kerana mengkaji dan meneliti sesuatu produk terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan membelinya.
Tidak dinafikan banyak ‘produk kesihatan’ dijual oleh orang tidak bertauliah dan mereka kadangkala berlagak seperti doktor dan memberi maklumat kesihatan sewenang-wenangnya.
       Bagaimanapun, produk dijual adalah mengarut, malah mereka menggunakan istilah perubatan seperti Dr, Nano, Stem Cell dan pelbagai lagi tanpa mengetahui maksud sebenar.
Justeru, masyarakat yang mengalami masalah kesihatan tidak teragak-agak membelinya kerana mereka mudah terpengaruh dan percaya apa yang dicanang, lebih-lebih lagi individu yang malu berjumpa pakar atau doktor mengenai masalah mereka.
      Jika dibiarkan berterusan, perkara seperti ini memudaratkan lagi kesihatan mereka yang membeli produk itu, selain menanggung kerugian besar. Produk sebegini dan peralatan elektronik yang dikatakan ‘ajaib’ itu perlu dipantau penjualannya oleh pihak bertanggungjawab. Kementerian Kesihatan (KK) kini ada satu unit khas yang memantau produk kesihatan dalam pasaran untuk meneliti sama ada produk, rawatan atau kaedah tertentu yang mendakwa produk berkenaan benar-benar berkesan memandangkan kos sesetengahnya membebankan masyarakat, lebih-lebih lagi ia tidak memberi kesan positif serta berisiko memudaratkan kesihatan.
       Anda mungkin maklum kaedah Terapi Ozon (kaedah mencuci darah) yang didapati tidak memberi kesan baik dan tidak diiktiraf KK. Orang ramai yang pernah menjalani terapi itu mungkin ketagih dan mengikutinya secara membuta tuli. Bagaimanapun, ia perbuatan sia-sia. Saya dapati banyak syarikat atau individu menjual produk bukan-bukan seperti produk elektronik yang mensasarkan orang berumur untuk memulihkan kelemahan badan dan tenaga. Namun, ia tidak boleh dipercayai dan saya pasti ia juga akan mendapat penelitian Unit Khas KK. Begitupun, yang penting kini adalah mengamalkan gaya hidup sihat dengan senaman berkala. Ia lebih berbaloi daripada duduk tersadai dan mendapat rawatan menerusi pelbagai produk mengarut.
       Untuk makluman, tidak ada peralatan elektronik yang boleh menyembuhkan penyakit dan jika ada pun perubahan, ia hanya bersifat sementara dan kemudian penyakit lama akan datang kembali.
Perubahan yang dimaksudkan ialah ‘fantasi’ atau ‘plasibo’ kerana kepercayaan dan keyakinan awalan masyarakat kepada produk yang membuatkan minda keliru dan menganggap ‘perubahan’ itu satu kebaikan, malangnya ia tidak memberi kesan.
       Pada pendapat saya, menggunakan produk berkenaan (seperti seluar dalam bermagnet yang kononnya dapat membantu ereksi dan membuatkan zakar besar, produk elektronik berjenama) bagi mendapatkan prestasi yang mengkagumkan adalah karut. Berbalik kepada produk ‘Vakouu’, jika produk seluar dalam yang mengandungi magnet itu dapat membantu memantapkan ereksi, memulihkan mati pucuk dan membesarkan zakar, saya juga akan membeli atau menjualnya. Namun ia sekadar mimpi. Jangan tertipu dan menjadi mangsa penipuan yang gemar memperalatkan individu demi keuntungan.
       Setakat ini, hanya alat regangan asli, Andropenis dan Andro-Extender dapat membantu mengubah saiz anggota kelamin lelaki secara berkesan dan keberkesanannya dikaji melalui ujian klinikal.
Namun begitu, pastikan ia tulen. Alat tiruan tidak sama dan bahan buatannya juga berbeza serta boleh merosakkan anggota sulit lelaki secara ketara. Nasihat saya kepada pembaca ruangan ini, jangan mudah terpengaruh dengan produk kesihatan yang menjanjikan pemulihan penyakit atau kebaikan tertentu tanpa nasihat doktor bertauliah.

Jika was-was, dapatkan nasihat KK.

Sunday, 27 November 2011

Ulasan Buku Pertama

Azam baru tahun 1433 Hijrah dan tahun masehi 2012 nanti aku ingin membeli buku sebuah buku setiap bulan. Hasil bacaan itu akan aku paparkan di sini untuk dikongsikan dengan rakan2 siber yang menjengah ke blog ini. Sebagai permulaan judul Menjadi Penulis Jutawan oleh Nimoiz TY menggamit minatku. Nama sebenar penulis buku ialah Nik Mohd Iznan bin TuanYaakub berasal dari Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah Kelantan. Aku suka buku ini kerana gaya penulisan yang santai dan pertalian antara bab dengan bab yang lain. Rasa ingin tahu  rahsia untuk menjadi penulis jutawan  terjawab di akhir bab buku ini.

    Maklumat berguna yang diperolehi melalui buku ini bukanlah untuk menjadi penulis jutawan sahaja. Sebenarnya kita semua boleh menulis tetapi mengikut minat dan kemahiran kita dalam bidang masing-masing. Contohnya sebagai guru, kita boleh menulis mengikut kemahiran dan kepakaran dalam  mata pelajaran yang diajar. Begitu juga sebagai peguam, pensyarah atau tukang masak dan pelbagai bidang pekerjaan. Kepelbagaian kerjaya yang ada di Malaysia ini,  tahap umur dan tahap pendidikan yang berbeza memberi kesan terhadap permintaan buku di pasaran. Aku pernah terbaca kajian oleh Perpustakaan Negara Malaysia satu ketika dulu, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kemudiannya meningkat kepada lapan buah buku setahun dari kajian terbaru 2007.
    Hal ini membuktikan, tahap membaca dan celik huruf rakyat Malaysia semakin meningkat. Justeru, untuk menulis buku dan menghasilkan karya yang pelbagai genre amatlah digalakkan. Ia bukan sahaja dapat dijadikan bacaan masa lapang malah boleh dijadikan rujukan dalam pelbagai bidang pekerjaan. Aku sendiri rasa tercabar untuk menulis buku berkaitan komputer untuk rujukan rakan-rakan guru sebagai permulaan. Niatku hanya untuk berkongsi ilmu Allah yang ada. Seperti kata-kata hikmat  " Ilmu yang tak diamalkan ibarat pokok yang tidak berbuah".

Info: Harga buku RM29.90, beli di kedai buku Popular RM24.00 diskaun 20% harga ahli.
     



Saturday, 26 November 2011

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433 Hijrah

Sempena menyambut kedatangan tahun baru 1433 Hijrah marilah sama-sama kita membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Semoga azam baru kita pada tahun baru hijrah ini adalah lebih baik dan dapat dicapai dari tahun-tahun sebelum, InsyaAllah...

Doa Akhir Tahun

Doa Awal Tahun

video dari youtube : Uploaded by  on Nov 25, 2011





Hasil kebun


Cuti sekolah sudah bermula, selain bertugas mengawas peperiksaan SPM masa yang terluang tu boleh juga aku berkebun. Dapat juga keluarkan peluh jantan ni..sayur terbaru yang membuahkan hasil ialah terung bulat, bendi dan cili besar. tapi hasil cili besar ni tak sempat masak merah dah gugur ke bumi. Tanya kawan katanya perlu sembur racun serangga. Tak rajinlah pulak aku nak sembur racun..sudahnya ku petik buah cili besar yang masih hijau untuk dibuat cili jeruk...dapat juga dimakan dari jatuh free ke tanah.

Inilah hasil kebunku ...

 tengok kacang bendi ni..besar tak...belakang tu pokok jagung berusia 2 bulan.

Inilah cili kerinting

 pokok cili besar dan terung

Terung bulat yang dah banyak kali dituai hasil..berbuah tak putus-putus..geli hati aku bila dengar anakku berkata "papa...petiklah buah epal ni..". Selain dimakan kusedekahkan pada jiran-jiran.

Tuesday, 22 November 2011

Ajar anak melukis

hari ni cadang nak ajar anak melukis. Abangnya 7 tahun dan adikny 4 tahun. Tapi apakah bentuk atau kemahiran melukis yang sesuai mengikut tahap umur mereka? menurut Lowenfeld, pembelajaran melukis untuk kanak-kanak adalah berbeza mengikut umur. Jadi, latihan dan kemahiran hendaklah disesuaikan dengan mereka. Berikut pautan laman web rujukan saya http://www.learningdesign.com/Portfolio/DrawDev/kiddrawing.html

(a) Peringkat Scribbling (2-4 Tahun)
Pada peringkat ini kanak-kanak menghasilkan contengan secara
rawak dan tidak terkawal. mereka mula melukis dari peringkat
contengan kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada
melukis bulatan.

(b) Peringkat Preschematic (4-7 Tahun)
Peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan
pertama untuk melukis objek yang terdapat di sekelilingnya dengan
menggunakan garisan.

(c) Peringkat Schematic (7-9 Tahun)
Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu.
Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam
imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di
sekelilingnya. lukisan yang dihasilkan adalah spontan, bebas dan
berskala besar.

(d) Peringkat Dawning Realism atau The Gang Age (9-12 Tahun)
kanak-kanak terus melukis dengan mengekalkan konsep dan skema
tertentu. imej yang dilukis secara realistik dan teliti. Imej lukisan
mula mengecil dari segi saiz dan kanak-kanak mula menunjukkan
sifat kritikal dengan hasil karya sendiri. Mereka mula
membandingkan karya dengan karya rakan sebaya dan ini
menjadikan mereka berhati-hati dan sedikit individualistik serta
menitikberatkan kualiti karya yang dihasilkan.

(e) Peringkat Pseudonaturalistic atau Reasoning (12-14 Tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula peka dengan konsep realistik
di dalam menghasilkan lukisan. Mereka menitikberatkan konsep
kedudukan dan saiz rasional imej. Mereka lebih gemar untuk
melukis melalui konsep peniruan atau melalui objek
di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi.

(f) Peringkat Period If Decision atau Adolescent Art in High
School (14-17 Tahun)
Peringkat ini merupakan peringkat penekanan terhadap proses
penghasilan karya seni dan penciptaan objek. Peringkat ini
memperlihatkan kematangan di dalam membuat keputusan dan
pemilihan bahan yang sesuai untuk menghasilkan karya
seni.

http://www.oocities.org/zulmz65/senikanakanak1.pdf

Friday, 11 November 2011

Pembayaran Bantuan RM100 untuk Setiap Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia akan mula mengagihkan bantuan RM100 kepada setiap pelajar yang layak, iaitu pada bulan November 2011. bantuan akan diberikan secara tunai pada suatu hari yang akan ditetapkan oleh pihak sekolah. sila klik pautan berikut untuk pekeliling yang lengkap. Bantuan RM100  atau maklumat lanjut sila klik pautan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di http://www.moe.gov.my/index.php?id=13&aid=2253>

Wednesday, 9 November 2011

Tahap Kesedaran Pengguna Semakin Meningkat

Sumber : Berita Harian, Rabu 9 November 2011


Berdasarkan artikel di bawah, pada pendapat saya tahap kesedaran pengguna di Malaysia semakin meningkat. Namun bagi kawasan negeri2 tertentu terutama di luar bandar, tahap kesedaran ini masih rendah. Mungkin mereka kurang mendapat pendedahan tentang hak2 pengguna. Oleh itu kerajaan perlu menggiatkan usaha untuk membimbing masyarakat tentang hak2 mereka sebagai pengguna. 

Lebih 7,000 kes tuntutan pengguna selesai membabitkan bayaran RM13 juta

PUTRAJAYA: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjaya menyelesaikan 7,767 kes tuntutan sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu, membabitkan pembayaran berjumlah RM13,395,223. 

Pengerusi TTPM, Reihana Abd Razak, berkata jumlah itu adalah 86.65 peratus daripada keseluruhan 8,964 kes yang difailkan untuk tempoh sama, membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM40,867,862.
"Perbezaan yang jauh antara nilai yang dituntut dengan nilai award yang dikeluarkan adalah disebabkan ada yang membuat tuntutan sesuka hati," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh pengguna yang membeli komputer dengan harga RM2,000 namun membuat tuntutan RM20,000 apabila komputer berkenaan tidak boleh digunakan. 

"Kita tak akan bagi. Jumlah maksimum yang dia akan dapat adalah nilai komputer itu ataupun kita boleh meminta peniaga terbabit menggantikan komputer berkenaan dengan yang baru," katanya. 

Reihana berkata, tiga negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi ialah Kuala Lumpur dengan 1,978 kes, diikuti Johor (1,310 kes) dan Selangor dengan 1,043 kes. 

Beliau berkata, perkara itu mungkin disebabkan oleh kepadatan penduduk di tiga negeri terbabit, serta tahap kesedaran orang ramai yang lebih tinggi mengenai hak mereka sebagai pengguna. 
Kes yang direkodkan di tiga negeri ini juga lebih banyak membabitkan gajet terkini seperti telefon bimbit dan komputer, mungkin kerana pengguna di kawasan ini lebih berminat dengan peralatan tersebut, katanya. 

Reihana berkata, daripada keseluruhan 8,964 kes yang difailkan, 4,265 kes membabitkan barangan dan baki 4,699 lagi membabitkan perkhidmatan. 

Katanya, dalam kategori barang, telefon bimbit mencatat kes paling tinggi dengan 565 kes, diikuti perabot dengan 528 kes dan kereta dengan 508 kes. 

Daripada kategori perkhidmatan pula, pakej umrah mencatat jumlah paling tinggi dengan 499 kes, diikuti bengkel kereta dengan 433 kes dan rawatan atau pusat kecantikan dengan 422 kes, katanya. - BERNAMA 

Sunday, 23 October 2011

Mangsa Buli Laman Sosial



ARKIB : 20/10/2011

Mangsa dibuli di laman sosial

PENGALAMAN mangsa buli di alam siber ini diceritakan sendiri oleh seorang pelajar tingkatan empat, Asraf (bukan nama sebenar) yang kini belajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.
Asraf memberitahu, biasanya perbuatan buli itu dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang biasanya menggunakan laman sosial seperti Facebook (FB) untuk membuli rakan dan juga guru.Melalui perbuatan tersebut, kumpulan pelajar terbabit akan menceroboh laman sosial rakan-rakan dan guru mereka dengan meletakkan pelbagai status dan komen yang memalukan.Dalam kes Asraf, pada pandangan rakan-rakan dan saudara mara dia melayari laman sosial itu sepanjang masa. Ini berdasarkan statusnya yang dikemas kini hampir setiap minit.Tetapi realitinya, Asraf langsung tidak melayari Internet pada hari berkenaan. Malah rumahnya juga tidak ada kemudahan Internet. Dia juga tidak mengunjungi kafe siber. Kalau pergi pun akan ditemani bapa dan ibunya. Telefon bimbitnya pula tidak ada capaian Internet. Maknanya, Asraf telah menjadi mangsa buli di Internet oleh rakan-rakan sekolahnya.
‘‘Sukar untuk meneka siapa yang terlibat kerana mereka ini bergerak dalam kumpulan. Mereka menggunakan kafe siber untuk melakukan kerja-kerja menggodam FB saya,’’ katanya.
Kata Asraf, ada rakannya mengalami nasib yang lebih teruk lagi apabila gambar dan profil dalam FB ditukar. Katanya, perbuatan itu memang memalukan, tetapi mangsa hanya berdiam diri kerana bimbang akan dibuli lebih teruk.

     Jelas Asraf, guru kelasnya juga turut menjadi mangsa hingga terpaksa menukar kata laluan ke akuan FB. Namun, ia masih gagal untuk menghalang kumpulan pelajar nakal terbabit daripada terus menceroboh ke akaun guru tersebut.‘‘Yang peliknya setiap kali guru saya menukar kata laluan baru di akaun FB mereka ia berjaya dikesan oleh kumpulan pelajar ini.‘‘Pelajar-pelajar ini begitu bijak dalam menceroboh kata laluan di FB sesiapa sahaja yang mereka kehendaki,” katanya. Atas pengalaman itu, Asraf memberitahu dia tidak lagi berminat melayari laman sosial itu kerana bimbang diperhatikan oleh kumpulan itu yang menunggu masa untuk membuli.

    Cerita Asraf itu merupakan salah satu daripada beribu-ribu jenayah siber yang menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa. Daya tarikan Internet memang kuat sehingga menjadi kegilaan bukan saja pada kanak-kanak bahkan orang dewasa. Disebabkan ketagihan kepada Internet terutama pada laman-laman sosial seperti FB, Fanpage, blog dan sebagainya menyebabkan mereka terdedah kepada kejadian buli siber.

    Laporan Keluarga Norton Online 2010 menunjukkan kanak-kanak di Malaysia telah menghabiskan secara purata 19 jam seminggu di Internet. Tetapi ibu bapa hanya beranggapan anak-anak mereka menggunakan Internet selama 11 jam seminggu. Laporan tersebut juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang dicapai dan dilayari oleh anak-anak mereka di Internet.
Peluang untuk melayari Internet juga tidak terhad dengan penggunaan komputer meja atau riba sahaja.
Kemunculan komputer yang lebih kecil dan senang dipegang seperti tablet, iPad dan telefon bimbit memudahkan capaian anak-anak kepada Internet.

     Ia diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang begitu mudah menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka melayari dunia siber tanpa sebarang panduan dan pengawasan. Kajian yang sama menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia pernah terdedah kepada pengalaman negatif menerusi penggunaan dalam talian. Ketua Perhubungan Korporat Telekomunikasi Digi, Zaiton Idrus berkata, senario itu sebenarnya memberikan kesan negatif terhadap emosi mereka.‘‘Sekalipun ingin membelikan telefon bimbit atau iPad untuk anak-anak, ibu bapa perlu mengingatkan mereka supaya berhati-hati ketika melayari Internet untuk mengelak sebarang masalah,’’ katanya. Beliau berkata, hanya ibu bapa sahaja yang dapat memberikan panduan dan bimbingan supaya anak-anak dapat melayari Internet dengan beretika. ‘‘Ibu bapa perlu ingat bahawa memberikan peluang anak melayari Internet juga umpama membenarkan mereka bermain di padang permainan di mana perlu ada panduan keselamatan,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cara Mengurus Anak Celik Digital sempena seminar Perlindungan Untuk Kanak-Kanak di Online (Child Online Protection) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Jelas Zaiton, panduan dan bimbingan itu dapat membantu mereka supaya tidak terjebak dengan perkara negatif di dunia siber termasuk membuli pengguna yang yang lain. Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu memperuntukkan masa memeriksa dari semasa ke semasa setiap kenalan anak mereka menerusi laman web sosial seperti FB dan sebagainya.‘‘Kawalan ini tanggungjawab ibu bapa supaya anak masing-masing tidak dipengaruhi oleh rakan siber dan pelbagai anasir jahat yang lain,’’ katanya.
Jelasnya, Digi sebagai syarikat telekomunikasi di negara ini turut bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pelanggan daripada terjebak dengan sebarang jenayah siber.‘‘Antaranya ‘Perlindungan Keluarga McAfee’ merupakan perisian keselamatan Internet dibina untuk memberi kuasa kepada ibu bapa untuk menjaga, mengetahui bahawa mereka ini akan selamat kerana belajar dan meneroka di dunia siber,’’ katanya. Katanya, teknologi canggih perisian tapisan menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai seperti video yang tidak sesuai dan sebagainya.
‘‘Jika ibu bapa selalu sibuk mereka akan maklumkan melalui emel mengenai apa-apa akses kepada laman web tidak sesuai yang telah dilayari oleh anak-anak,’’ katanya.

    Sementara itu Pengasas dan Pengarah Eksekutif, Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang (Generasi Gemilang), Daniel Tan Kok Keat berkata, ikatan kekeluargaan yang rapat merupakan kaedah terbaik supaya kanak-kanak sebagai generasi akan datang selamat ketika melayari Internet.‘‘Ibu bapa adalah guru terbaik yang boleh mengajar anak-anak supaya mematuhi panduan yang berasaskan kepada prinsip dan nilai di dalam sesebuah kehidupan itu ketika melayari Internet,’’ katanya. Sehubungan itu, katanya, ibu bapa mesti sedia maklum laman web yang sesuai untuk dilayari oleh anak-anak atau sebaliknya.‘‘Anak-anak juga dari semasa ke semasa perlu diingat berhati-hati dalam melayari Internet supaya tidak terjerumus ke laman web yang tidak wajar di dalam usia mereka,’’ katanya dalam kertas kerja bertajuk Realiti Dunia Siber di Malaysia. Daniel berkata, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya dapat melayari alam siber secara positif.‘‘Mereka perlu diingatkan supaya bertanggungjawab bukan sahaja untuk menjaga keselamatan diri sendiri malah juga keluarga dan juga rakan-rakan,’’ katanya.